Tuesday 3 December 2013

BANJIR DI PAHANG MAKIN BURUK, RAMAI YANG SUDAH DI PINDAHKAN



Penduduk-penduduk sekitar Sungai Lembing melihat jambatan Sungai Charu ditenggelami air sedalam kira-kira setengah meter. Jalan utama menghubungkan Kuantan-Sungai Lembing terpaksa ditutup untuk semua kenderaan selepas paras air Sungai Charu melimpahi jambatan akibat hujan yang berterusan salama tiga hari bermula Sabtu lalu. - Foto Bernama




KUANTAN - Banjir di Pahang kini dilaporkan semakin buruk apabila lebih 9,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga 8 malam ini.

Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, sehingga kini 9,030 mangsa yang melibatkan 2,095 keluarga dipindahkan di lima daerah.

"Sebanyak 69 pusat pemindahan beroperasi di daerah Maran, Pekan, Rompin, Kuantan dan Jerantut.

"Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 3,672 orang membabitkan 916 keluarga di 33 pusat pemindahan.

"Di Rompin pula 859 keluarga dengan 3,249 mangsa ditempatkan di 13 pusat pemindahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Di Pekan, 932 mangsa dipindahkan ke 13 pusat pemindahan manakala di Maran, 1,124 mangsa banjir ditempatkan di sembilan pusat pemindahan.

"Jerantut pula merupakan daerah terbaharu yang mengalami banjir yang mana satu pusat pemindahan dibuka membabitkan 62 mangsa daripada 12 keluarga," kata jurucakap itu.

Katanya laluan yang ditutup bagi kenderaan ringan, Km28 Kuantan-Sungai Lembing, Km36 Jalan Gambang-Kuantan, Km16 Jalan Nenasi-Pekan, Km145 Jalan Jerangau-Jabor, Km72 Jalan Kuantan-Segamat dan Km10 Jalan Kuantan-Pekan.

Katanya, setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan akibat banjir.

Di JERANTUT, Ketua Polis daerah itu Suptrtendan Azid Ismail berkata lebih 10,000 penduduk di kawasan rendah sepanjang Sungai Tembeling dan Sungai Pahang dinasihati supaya bersedia untuk berpindah berikutan paras air di kedua-dua sungai semakin naik.

Azid berkata hujan yang tidak berhenti-henti sejak tiga hari lepas memang dijangka menyebabkan banjir di kawasan rendah terutama di Hulu Tembeling dan kawasan tebing sungai.

"Penduduk dinasihatkan supaya tidak turun ke Sungai Tembeling atau Sungai Pahang ketika air naik sebaliknya berpindah segera jika berlaku banjir bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Pengusaha bot penambang dan 50 pengusaha bot pelancong di Taman Negara juga dinasihatkan supaya menghentikan sementara perkhidmatan mereka.

"Pengusaha bot perlu mengutamakan keselamatan penumpang," katanya. - Bernama

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/banjir-di-pahang-kian-buruk-ramai-dipindahkan-1.227034