Tuesday, 29 October 2013

TEKS UCAPAN PENUH ISI KANDUNGAN BAJET 2014


Teks Penuh Ucapan Pembentangan Bajet 2014
Tarikh Pembentangan : 25 Oktober 2013 (3.00ptg)

Di bawah ini di lampirkan ucapan penuh isi kandungan BELANJAWAN 2014 oleh Perdana Menteri Malaysia.

_____________________________________________________________________________________________

KUALA LUMPUR - [Kemaskini] Berikut adalah ucapan Bajet Tahun 2014 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat hari ini:

“MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk “Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.


PENDAHULUAN

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah Subhanahu Wa Taala dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya:

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah”.

Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa:

“Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resepi kejayaan”.


Tuan Yang di-Pertua,

1. Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.

2. Pertama-tamanya, saya, bagi pihak Kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Tuan Yang di-Pertua,



3. Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.

4. Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihanraya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihanraya.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.

6. Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat pabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam melampau sepertimana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung olehNya jua.

Tuan Yang di-Pertua,

7. Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10 Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.

8. Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.

9. Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi yang tuntas oleh Kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Tuan Yang di-Pertua,

10. Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera.

Tuan Yang Di-Pertua serta Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian,  

11.    Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.

12.    Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya, kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju kejayaan.

Tuan Yang di-Pertua,

13.    Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259 ribu yang mewakili 0.9 peratus. Ini bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang.

14.    Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam pilihanraya umum ke-13 baru baru ini. Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapapun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim.

Tuan Yang di-Pertua,  

15.    Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan.

TERAS BAJET 2014

16.    Sepertimana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh sa’adah. Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak Kerajaan sejak 2009.

Tuan Yang di-Pertua,

17.    Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan “MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI”, dengan menggariskan lima teras utama.

    Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi
    Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal
    Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan
    Teras Bajet Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar
    Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat


PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-ahli Yang Berhormat,

18.    Izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini.

Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.

19.    Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran 1.66 trilion ringgit pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013. Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.

20.    Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi, yakni 18.2 bilion ringgit berbanding 15.9 bilion ringgit pada separuh pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak 444.9 bilion ringgit pada 14 Oktober 2013. Tuan Yang di-Pertua, jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.

21.    Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak 165 bilion ringgit. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.

22.    Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.

23.    Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.

Tuan Yang di-Pertua,

24.    Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah 34,126 ringgit berbanding 24,879 ringgit pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun.

Sehubungan hal ini, jika dicongak, InsyaAllah, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran 46,500 ringgit atau 15 ribu Dolar Amerika. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.


PERUNTUKAN BAJET 2014

Tuan Yang di-Pertua,

25.    Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak 264.2 bilion ringgit bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Daripada jumlah tersebut, 217.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan 46.5 bilion ringgit bagi perbelanjaan pembangunan.

26.    Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 63.6 bilion ringgit adalah bagi Emolumen dan 36.6 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, 114.5 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 1.4 bilion ringgit lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki 1.5 bilion ringgit untuk perbelanjaan lain.

 Tuan Yang di-Pertua,

27.    Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah 46.5 bilion ringgit itu, sejumlah 29 bilion ringgit disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak 10.5 bilion ringgit bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.9 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, 1.1 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

28.    Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak 224.1 bilion ringgit, yakni, tambahan sebanyak 4 bilion ringgit berbanding tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang di-Pertua, Kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.

Tuan Yang di-Pertua, Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,

29.    Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

30.    Dalam hal ini, Kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha Kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.

31.    Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189 bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.

32.    Di samping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak 106 bilion ringgit. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru.

33.    Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

34.    Menjengah sudut lain, Kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah 124 bilion ringgit pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.

35.    Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah 53.4 bilion ringgit. Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.

36.    Kerajaan turut menyediakan 1.6 bilion ringgit pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.

37.    Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersil dan sistem fertigasi.

Tuan Yang di-Pertua,

Merancak Sektor Perkhidmatan

38.    Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, Kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014, yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenalpasti subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut.

Meningkat Potensi Sektor Logistik

39.    Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke-29 Indeks Prestasi Logistik Laporan Bank Dunia 2012. Indeks ini mengukur penanda aras prestasi aktiviti logistik yang merangkumi penghantaran, infrastruktur, ketepatan masa, kelulusan kastam dan kompetensi. Walau masih ketinggalan berbanding negara maju, senario ini mampu diperbaiki.

40.    Jadinya, supaya sektor logistik lebih efisien, Kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik. Pelan ini akan menyediakan halatuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang.

Di samping itu, Kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan memperuntukkan 3 bilion ringgit bagi Dana Pembangunan Maritim secara pinjaman mudah. Dana ini menyediakan akses pembiayaan untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.

Menggalak Industri Penerbangan

41.    Malaysia berpotensi menjadi hub penerbangan di rantau ini. Industri ini dapat memberi kesan pengganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 38.6 juta penumpang bagi tempoh yang sama pada 2012.

42.    Jumlah kargo udara yang dikendalikan, turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh yang sama. Dengan beroperasinya KLIA2 nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada lebih 70 juta. Untuk memajukan lagi industri ini, Kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah-langkah bagi mengukuh eko-sistem dan rantaian perkhidmatan industri penerbangan.

43.    Bagi melicinkan pengurusan operasi dan pengendalian trafik udara, sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang yang telah berusia hampir 20 tahun itu, akan digantikan. Oleh itu, sebuah pusat pengurusan trafik udara baru dengan kos sebanyak 700 juta ringgit akan dibina di KLIA. Sistem baru ini, akan dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui 3 landasan. Untuk makluman dewan yang mulia, kapasiti pengendalian ini adalah antara yang tertinggi di dunia.

44.    Demi keselesaan para penumpang, Kerajaan juga akan menaiktaraf beberapa lapangan terbang termasuk di Kota Kinabalu, di Sandakan Sabah serta Miri, Sibu juga Mukah di Sarawak. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 312 juta ringgit. Di samping itu, terminal penumpang dilapangan terbang antarabangsa Langkawi dan  lapangan terbang Kuantan akan dinaik taraf.

Mempromosi Sektor Pelancongan

45.    Sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak 65 bilion ringgit pada tahun 2013 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2012, kita berjaya menarik kemasukan seramai 25 juta pelancong dari seluruh dunia. Bertitik tolak dari perkembangan yang memberansangkan ini dengan sasaran sebanyak 28 juta pelancong, tahun 2014 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.

46.    Dalam menjayakan ikhtiar ini, Kerajaan memperuntukkan 1.2 bilion ringgit bagi tahun 2013 dan 2014, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang meliputi program promosi dan pengiklanan.

47.    Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan pelancong, sukacita saya mengumumkan pula, tahun 2015 sebagai Year of Festival dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.

48.    Sebagaimana kita maklum, Malaysia juga terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan pelancong. Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, menurut Laporan CNN Travel 2013 menunjukkan Kuala Lumpur menduduki tempat ke-4 sebagai bandaraya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Malah dari segi value for money kita teratas.

49.    Bagi terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekaligus menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi.

Menyokong usaha ini, Kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2016.

50.    Selain itu, di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan sejumlah 2 bilion ringgit, akan disediakan. Tabung ini akan menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 hingga 6 peratus, di mana Kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus. Tabung ini dapat membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

Tuan Yang di-Pertua,

Meluaskan Akses Internet

51.    Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya, peningkatan akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya untuk menampung keperluan pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, Kerajaan telah melaksanakan projek High Speed Broad Band atau HSBB.

52.    Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan pelaburan sebanyak 11.3 bilion ringgit, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan. Kini, projek HSBB telah dilaksanakan dengan capaian internet berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini memanfaatkan 2.3 juta premis terutama di kawasan bandar.

53.    Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, Kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan sebanyak 1.8 bilion ringgit.

Inisiatif ini dijangka memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar merangkumi 2.8 juta isirumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini
dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat.

54.    Kepada rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak 1.6 bilion ringgit. T

Tuan Yang di-Pertua,  

55.    Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak 1.5 bilion ringgit untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos 850 juta ringgit. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Mengukuh Pasaran Kewangan

56.    Pada masa ini, pasaran bon negara merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi satu trilion ringgit, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang mencatat jumlah dagangan melebihi 30 bilion ringgit sehari. Bagi mempastikan operasi pasaran kewangan yang cekap, rangka kerja perundangan yang jelas diperlukan.

57.    Untuk ini, pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada akan dilaksanakan dan seterusnya Bank Negara akan menerajui dalam penyediaan Akta Penyelesaian atau Netting Act bagi memelihara hak penguatkuasaan “close-out netting” di bawah kontrak kewangan.

Ini bertujuan bagi mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivative, dan seterusnya dapat membantu mengurangkan risiko sistemik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.

58.    Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam memberi kelebihan dalam menarik dana dan menerbit sekuriti. Untuk terus meningkatkan daya saing di peringkat global, usaha akan ditingkatkan bagi mempromosi negara sebagai pasaran Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Social Responsible Investment (SRI).

59.    Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus atau dikenali sebagai Indeks Environmental, Social and Governance (ESG), untuk meningkatkan profail syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.

60.    Ke arah ini, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab.

Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan dana SRI bagi dilaburkan dalam syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan yang tinggi termasuk ciri-ciri keterangkuman seperti diversiti dari segi gender, umur dan etnik.

61.    Sebagai permulaan, Valuecap akan memperuntukan satu billion ringgit untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam Indeks ESG. Saya percaya, langkah ini, akan menjadi satu galakan kepada syarikat-syarikat  untuk menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial yang tinggi.

Menggalak Skim Persaraan

62.    Pada tahun 2010, Kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia atau SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Sehingga kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini dengan jumlah simpanan melebihi 240 juta ringgit.

63.    Bagi terus menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, saya mencadangkan sumbangan Kerajaan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum 60 ringgit setahun kepada 120 ringgit setahun. Peningkatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga akhir tahun 2017 dan dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baru.

64.    Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa usia muda bagi mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan. Untuk meningkatkan simpanan tambahan, Kerajaan menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta atau PRS.

65.    Oleh itu, Kerajaan mencadangkan insentif 500 ringgit secara one-off kepada pencarum yang menyertai skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul seribu ringgit dalam tempoh setahun. Insentif ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dianggarkan dapat menarik seramai 420 ribu pencarum muda di seluruh negara. Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014 bagi tempoh lima tahun dan akan melibatkan peruntukan sebanyak 210 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian

66.    Hakikatnya sejak dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada tanah, berbakti kepada bumi, nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu, seperti tiap tahun, bidang pertanian tersusun dalam agenda Bajet negara.

67. Peruntukan sebanyak 6 bilion ringgit akan disediakan untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil. Antara inisiatif utama adalah seperti berikut:

Pertama:    Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE  yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia bertindak sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan;

Kedua:     Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan
Agro bazaar di Singapura.

Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China. Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian, Kerajaan akan turut menyediakan kemudahan cold room di KLIA. Tujuannya, selain daripada meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani; dan

Ketiga:     Mempastikan harga berpatutan bagi produk makanan dengan membuka tambahan 60 pasar tani, 50 pasar ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100 gerai buah-buahan segar di seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh FAMA dan LKIM yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk makanan kepada pengguna.

Tuan Yang di-Pertua,

68.    Selanjutnya, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 2.4 bilion ringgit bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak 243 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.

69.    Selain itu, bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 634 juta ringgit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara. Antara projek yang terlibat adalah tanaman padi, projek ikan dalam sangkar, projek rumpai laut dan burung walit, projek herba bernilai tinggi, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pasaran eksport.

70.    Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk menghasilkan sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20 ribu peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga empat ribu ringgit sebulan.

71.    Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.

72.    Selain itu, Kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan Bioekonomi. Oleh itu, insentif  R&D berikut akan diberi kepada projek yang berkelayakan yang akan dinilai oleh BiotechCorp:

Pertama :     Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio;

Kedua :    Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersilan di Malaysia; dan

Ketiga :    Insentif khas kepada syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence for R&D. Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.

Tuan Yang di-Pertua,

Pembangunan Usahawan

73.    Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam perniagaan. Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan para usahawan di kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka dapat menjadi ahli-ahli perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas, Kerajaan terus komited dalam mempastikan pembangunan usahawan atau entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi negara.

74.    Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk menyediakan ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan idea yang boleh dikomersilkan, prasarana latihan dan inkubator, modul entrepreneurship, kemudahan pembiayaan serta pemasaran.

Bagi melaksanakan pelan pembangunan usahawan ini, satu entiti National Entrepreneur Development Office akan diwujudkan di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

75.    Sehubungan itu, semasa 4th Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini, saya telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau Malaysian Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC, sebagai pusat sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau prestasi entreprenur, mempunyai pengkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan akan memberi peruntukan awal sebanyak 50 juta ringgit bagi tujuan ini.

76.    Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program 1Malaysia Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan aspek keusahawanan kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan. Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan data peserta telah dibangunkan.

77.    Kerajaan mensasarkan seramai 5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun. Seterusnya, entreprenur 1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di MaGIC Centre. Selain itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global Social Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan muda di negara ini.

78.    Bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, Kerajaan menggalakkan golongan siswazah menceburi bidang keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Bagi inisiatif ini, sukacita saya umumkan dana pinjaman mudah sebanyak 50 juta ringgit di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah sehingga 500 ribu ringgit dengan kadar faedah empat peratus.

Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana

79.    Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah PKS yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi baru PKS yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS berdaftar dijangka meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, Kerajaan komited untuk mempastikan sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

80.    Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS, Kerajaan mencadangkan peruntukan pakej bersepadu sebanyak 120 juta ringgit yang merangkumi dana pinjaman untuk membiayai program mekanisasi dan automasi serta program peningkatan kapasiti PKS. Selain itu, Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif di bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan, insentif cukai dan perolehan termasuk:

Pertama:    Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau jumlah maksimum 200 ribu ringgit setahun;

Kedua:    Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah insentif pinjaman mudah;

Ketiga:    Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan 1-InnoCERT;

Keempat:    Insentif perolehan Kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam penilaian teknikal; dan

Kelima:    Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini sehingga 31 Disember 2017.

Tuan Yang di-Pertua,

81.    Kerajaan telah menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum pada 1 Januari 2013. Kadar gaji minimum adalah 900 ringgit sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadarnya adalah 800 ringgit sebulan.

Bagi menggalakkan pematuhan kepada dasar ini, di samping mengurangkan kesan kewangan kepada majikan PKS, koperasi, pertubuhan dan persatuan, Kerajaan mencadangkan
supaya bayaran perbezaan gaji yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2014 diberi potongan cukai tambahan.

82.    Bagi membantu peniaga pasar malam, Kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak 100 juta ringgit di bawah kendalian Bank Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat peratus dengan pinjaman maksimum sehingga 30 ribu ringgit. Kemudahan ini bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan
mentah dan kelengkapan perniagaan.

TERAS KEDUA: MENGUKUH PENGURUSAN FISKAL

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Transformasi Perkhidmatan Awam

83.    Pertama sekali, kita memerlukan kepada Transformasi Perkhidmatan Awam. Untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan, Kerajaan telah melaksanakan pelan transformasi di setiap kementerian. Langkah ini amat penting bagi mengukuh dan menyusun semula organisasi supaya relevan dengan perkembangan semasa.

84.    Bercakap tentang perkara ini, Kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012. Demi mengukuhkan keyakinan rakyat dan menjaga imej dan kredibiliti sektor awam, Kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara bagi menyiasat serta mengambil tindakan tegas ke atas salah laku penjawat awam.

85.    Penyiasatan dan tindakan tatatertib sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Awam ke atas lebih daripada 100 kes ketidakpatuhan kepada prosedur-prosedur kewangan termasuk prosedur perolehan manakala sebanyak 15 kes sedang disiasat untuk tindakan pendakwaan di mahkamah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

86.    Sebagai langkah penambahbaikan, Kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Integriti yang dianggotai oleh SPRM di setiap kementerian bagi meningkatkan pematuhan dan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Menambahbaik Pengurusan Belanjawan

87.    Untuk menambahbaik pengurusan belanjawan secara berhemah, Sistem Outcome Based Budgeting atau OBB diperkenalkan bagi memastikan penyediaan peruntukan adalah berasaskan outcome, meningkat kecekapan pelaksanaan, mengurang pertindihan serta penilaian prestasi bersistematik ke atas semua program dan projek Kerajaan. Bagi tahun 2014, buat permulaan, tiga kementerian iaitu Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kewangan akan menjalani proses penilaian prestasi berdasarkan OBB.

88.    Pada bulan Jun lepas, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Fiskal Negara. Ianya berperanan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan Kerajaan dan mempastikankemampanan fiskal serta kestabilan makroekonomi bagi jangka panjang.

Kerajaan komited untuk terus mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat dengan sasaran mencapai bajet berimbang pada tahun 2020. Kerajaan juga akan mempastikan paras hutang kekal di tahap yang rendah, tidak melebihi tahap 55 peratus kepada KDNK.

89.    Di samping itu, Kerajaan akan terus mempastikan lebihan semasa yang kukuh di mana kutipan hasil sentiasa melebihi perbelanjaan mengurus. Kerajaan turut memberi penekanan bagi meningkatkan kecekapan dan penjimatan perbelanjaan, mengutamakan pelaksanaan projek yang berimpak tinggi serta menambahbaik kaedah pengauditan.

90.    Pada masa ini, kaedah pengauditan hanya dibuat selepas sesuatu projek atau program selesai dilaksanakan. Maka, sebagai langkah proaktif, Kerajaan akan membuat pengauditan ke atas projek yang melebihi 100 juta ringgit semasa pelaksanaan projek tersebut.

Potongan Cukai Bulanan Sebagai Cukai Muktamad

91.    Pada masa ini, pembayar cukai yang mempunyai pendapatan penggajian dan membuat potongan cukai bulanan atau PCB perlu mengemukakan borang cukai sebelum atau pada 30 April setiap tahun. Kita mendapat rungutan, bahawa pengemukaan borang cukai setiap tahun oleh pembayar cukai yang mempunyai PCB telah menimbulkan kekeliruan. Ini kerana, walaupun PCB telah dipotong, borang cukai
masih perlu dikemukakan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

92.    Jadinya, untuk memudahkan pembayar cukai yang berpendapatan penggajian di mana PCB dipotong, adalah dicadangkan supaya pembayar cukai tidak perlu mengemukakan borang nyata cukai pendapatan sekiranya berpuas hati bahawa PCB adalah dianggap cukai muktamad. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2014.

Tuan Yang di-Pertua,

Rasionalisasi Subsidi

93.    Subsidi secara pukal, amnya boleh menjadi pembantut kepada pertumbuhan negara sekiranya tidak sampai kepada kumpulan sasar secara tepat. Kerajaan menyediakan hampir 47 bilion ringgit pada tahun 2013 untuk pelbagai jenis subsidi, insentif dan bantuan antaranya subsidi produk petroleum, barangan makanan, kesihatan, pertanian dan perikanan, utiliti, tol serta kebajikan dan pendidikan.

94.    Daripada jumlah ini, bahagian terbesar iaitu sebanyak 24.8 bilion ringgit atau 53 peratus adalah untuk subsidi produk petroleum yang dinikmati oleh semua golongan, termasuk yang berpendapatan tinggi, peniaga dan warga asing.

Di samping itu, berlaku penyeludupan produk bersubsidi oleh golongan yang tidak bertanggungjawab. Subsidi adalah penggunaan wang rakyat bagi menambah baik kehidupan rakyat. Tetapi jika subsidi itu adalah pembantut dan merugikan rakyat, Kerajaan yang bertanggungjawab dengan kepercayaan yang telah diberikan perlu mengambil keputusan yang terbaik bagi rakyat.

95.    Untuk mempastikan sistem subsidi yang bersasar, Kerajaan akan secara berperingkat menstruktur semula kaedah pemberian subsidi. Ini adalah untuk mempastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja patut menikmatinya.

Sebahagian daripada penjimatan penstrukturan semula sistem subsidi akan di beri secara terus dalam bentuk bantuan tunai, dan sebahagian lagi akan digunakan untuk menampung pembiayaan projek pembangunan Kerajaan. Sebagai langkah permulaan, Kerajaan telah mengurangkan subsidi produk petroleum sebanyak 20 sen pada 3 September yang lalu.

96.    Di samping itu, bagi mempastikan tiada pertindihan dan keciciran pemberian bantuan kepada golongan sasar, Kerajaan akan mewujudkan satu sistem pangkalan data yang komprehensif termasuk mengintegrasi data e-Kasih, data penerima bantuan kebajikan dan penerima BR1M. Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri akan menerajui inisiatif ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Cukai Barang dan Perkhidmatan

97.    Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak Kerajaan.

98.    Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telahpun dibacakan di dewan yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahupun negatif dan pandangan telah kita terima.

99. Hakikatnya, Kerajaan telahpun mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna dan NGO.

Tuan Yang di-Pertua,

100.    Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan rakyat, Kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

101.    Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru.

102.    Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.

103.    Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan.

104. Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum. Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung samada ianya adalah barangan asas atau tidak.

105.    Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban.

106.    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan.

Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.

107.   Di pihak Kerajaan pula, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh telahpun disediakan.

108.    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:

Pertama:    GST akan berkuatkuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.

Kadar GST ini merupakan yang terendah dikalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;

Kedua: Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, usahlah bimbang, janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;

Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;

Keempat:    Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak dikenakan GST;

Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST; dan

Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.

Tuan Yang di-Pertua,

109.    Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut:

Pertama:Bantuan tunai secara one-off sebanyak 300 ringgit kepada penerima isi rumah BR1M;

Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300 ribu orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai.

Umumnya, golongan berkeluarga yang berpendapatan empat ribu ringgit sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai; dan

Ketiga: Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara. Bagi mempastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi 100 ribu ringgit kepada melebihi 400 ribu ringgit.

Kadar cukai maksimum kini 26 peratus pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25 peratus. Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.

110.    Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST dengan lancar, Kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:

Pertama:    Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25 peratus kepada 24 peratus. Manakala kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20 peratus kepada 19 peratus. Langkah ini berkuatkuasa mulai tahun taksiran 2016;

Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata peratusan mulai tahun taksiran 2015;

Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai mulai tahun taksiran 2015;

Keempat:Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;

Kelima: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi tahun taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan

Keenam: Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang menghantar kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan 2014. Di samping itu, bantuan kewangan sejumlah 150 juta ringgit disediakan kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014 dan 2015.

111.   Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan ini, Kerajaan yakin, tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang akan sentiasa dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, Kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga.

112.   Kepada pengguna pula, gunakanlah hak anda dalam membuat pilihan, berbelanja secara berhemah. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan  Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

113.   Selain itu, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi Kerajaan, wakil industri dan NGO.

TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN

Tuan Yang di-Pertua,

114.    Cabaran terbesar bagi Malaysia sebenarnya adalah, sejauhmana kita dapat membangun dan mempersiapkan human capital. Modal insaniah yang holistik mencakupi antaranya modal intelek, pelbagai kemahiran seni dan pertukangan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran inter-personal, berfikir, kreativiti serta inovasi.

Pokoknya, pembangunan fizikal dan teknologi perlu diseimbangkan dengan keunggulan manusiawi. Jika tidak, akan wujud kelompangan dan ketempangan pabila pencapaian materi tidak dipaksi dengan nilai sejagat insani.

115.    Oleh itu, Kerajaan akan terus menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran kerja. Di samping itu, aspek jasmani, spiritual dan intelektual akan digilap dari peringkat pendidikan awal hingga ke peringkat tertiari. Tenaga kerja juga akan diterap dengan nilai murni dan adab susila ketimuran supaya masyarakat hidup harmoni dan sejahtera.

Meningkat Kecemerlangan Pendidikan

116.   Sesungguhnya, tiap kali bajet dibentangkan, peruntukan terbesar diberikan kepada sektor pendidikan. Pendidikan adalah segalanya. Sejak zaman bahari, sesebuah ketamadunan bangsa tidak akan kekal lama jika seandainya tidak diakari dan dibajai dengan ilmu dan pengetahuan.

117.   Menyisir tuntutan ini, Kerajaan komited untuk melonjakkan pencapaian tahap akademik dan kemahiran yang tinggi. Untuk itu, sejumlah 54.6 bilion ringgit atau 21 peratus daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 akan disediakan.

Kerajaan juga akan mempastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM mencapai objektif bagi membawa Malaysia ke tahap kategori ‘sepertiga teratas’ dalam kedudukan pendidikan terbaik dunia, Insya Allah, dalam tempoh 15 tahun lagi.

118.    Untuk terus memartabatkan kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat prasekolah hinggalah ke sekolah menengah, antara program yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pertama:    Kerajaan amat perihatin tentang pendidikan awal anak-anak kerana tempoh ini amat kritikal dalam menentukan proses tumbesaran fizikal dan minda yang terbaik. Maka, kita memperuntukkan sejumlah 530 juta ringgit bagi program prasekolah dan menambah 93 lagi bilangan prasekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan;

Kedua: Melaksanakan program pemantapan profesion guru dengan memberi tumpuan kepada tugas mengajar, meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk itu, sebanyak 209 juta ringgit disediakan;

Ketiga:    Memperluaskan akses internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar seluruh negara dengan peruntukan 168 juta ringgit; dan     Keempat:    Membina 33 sekolah baru dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah-sekolah usang dengan peruntukan sebanyak 831 juta ringgit.

119.    Pada pembentangan Bajet 2012 dan 2013, Kerajaan telah menyediakan masing-masing sebanyak satu bilion ringgit di bawah Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraaan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.

120.   Untuk meneruskan komitmen Kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan 450 juta ringgit lagi kepada tabung ini. Daripada jumlah tersebut, 100 juta ringgit kepada Sekolah Kebangsaan, 50 juta ringgit kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, 50 juta ringgit bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, 50 juta ringgit untuk Sekolah Mubaligh, 50 juta ringgit disalurkan untuk Sekolah Berasrama Penuh,  50 juta ringgit kepada Maktab Rendah Sains MARA, 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan manakala 50 juta ringgit untuk Sekolah Agama Rakyat.


Memperkasa Pendidikan Tertiari
 
121.    Di sudut ini, Kerajaan akan memberi fokus memperkasakan institut pengajian tinggi awam dan swasta ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran kerja. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk:

Pertama:    Meningkatkan status universiti bertaraf penyelidikan dengan memperbanyakkan kajian dan penulisan untuk penerbitan di peringkat antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan 600 juta ringgit sebagai geran penyelidikan di institut pengajian tinggi awam; dan

Kedua: Kerajaan meneruskan program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian di peringkat pasca ijazah, khususnya kepada golongan eksekutif di sektor swasta. Untuk ini, sejumlah 110 juta ringgit disediakan bagi tujuan tersebut.

122.   Penerbitan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa merupakan aspek terpenting dalam memartabatkan hasil karya para akademik tempatan. Menyedari akan kepentingan mewujudkan satu pusat ilmiah bertaraf dunia, Kerajaan akan menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia bagi meningkatkan hasil penerbitan ilmiah tempatan dan membantu penyelidik menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka.

Tuan Yang di-Pertua,

Memperkukuh Latihan Kemahiran

123.    Usaha berterusan akan diambil untuk meningkatkan kualiti latihan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh itu, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:

Pertama:    Melaksanakan single tier bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3, selama setahun 6 bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM);

Kedua: Menaiktaraf dan menyelenggara bangunan serta peralatan di institut latihan JTM seiring dengan teknologi terkini dengan peruntukan 178 juta ringgit; dan

Ketiga: Menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah 330 juta ringgit di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Tabung ini bertujuan menyediakan pinjaman kepada belia lepasan SPM untuk mengikuti kursus latihan kemahiran.

Tuan Yang di-Pertua,

124.    Belia adalah harapan bangsa. Belia juga aset serta pewaris negara pada hari muka. Kata Ulama, jika baik perilaku dan tingkah belia masa kini, itulah bayangan negara masa hadapan.

125.    Dalam hal belia ini, sejumlah 200 juta ringgit diperuntukkan untuk menaik taraf dan melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN. Antara bidang latihan yang telah dikenalpasti merangkumi automotif, penyelenggaraan marin, kimpalan dan pendawaian elektrik yang akan memanfaatkan lebih 15,000 pelatih IKBN di seluruh negara.

126.    Di samping itu, terdapat 13 ribu majikan yang berdaftar dan membuat bayaran levi pada kadar satu peratus daripada upah gaji pekerja ke dalam tabung Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia atau HRDF. Levi ini adalah bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.

127.    HRDF akan menyediakan 400 juta ringgit bagi syarikat yang berdaftar untuk memberikan peluang kepada pekerja mengikuti program upskilling dan reskilling. Peruntukan ini boleh juga dimanfaat oleh syarikat tersebut untuk melatih para apprentice dan bakal pekerja.

128.    Bagi mempastikan pekerja dapat mengimbangi kerjaya dan komitmen keluarga, terutamanya pada kaum wanita, satu persekitaran kerja yang fleksibel perlu diwujudkan. Oleh itu, dicadangkan majikan melaksanakan Flexible Work Arrangements yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat kerja.

129.    Skim ini boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti compressed work week, flexi hours dan weekend work. Bagi menarik lebih banyak syarikat Malaysia menjadikan Flexible Work Arrangements atau bekerja sebagai amalan hidup, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan latihan dan fi konsultansi yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan skim ini diberi potongan cukai tambahan.

Tuan Yang di-Pertua,

Bantuan Persekolahan

130.    Sukacita saya mengumumkan bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah sebanyak 100 ringgit, akan diteruskan. Sebanyak 540 juta ringgit disediakan yang dapat memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar.

Saya dimaklumkan, terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibubapa dan Guru atau PIBG. Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni tersebut.

Baucar Buku 1Malaysia

131.    Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya perlu ditingkatkan. Jadikanlah buku teman setia, penyuluh di kala gelap, penyegar minda sepanjang hayat.

132.    Sukacita saya umumkan Kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai sebanyak 250 ringgit kepada setiap pelajar pra-universiti dan IPT untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian.  Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak 325 juta ringgit.

TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS)

133. Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS merupakan langkah bersepadu Kerajaan merangka dasar dan inisiatif melalui perkongsian pintar antara Kementerian dan agensi.

134.    Strategi ini adalah pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional. Sehingga kini, 56 iniasitif NBOS telah dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos, pelaksanaan yang pantas serta program berimpak tinggi. Pada tahun 2014, peruntukan 278 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan program meliputi:

Pertama:    Membuka Pusat Transformasi Bandar atau UTC Sabah pada akhir tahun ini dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis sebagai tambahan kepada lima UTC sedia ada;

Kedua: Menambah tiga Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah; dan

Ketiga: Melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC dengan menambah bilangan bas serta van yang diubahsuai. Perkhidmatan utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.

Mengukuhkan Jaringan Pengangkutan Awam

135.    Sememangnya, perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dapat memudahkan mobiliti serta menjimatkan masa dan kos perjalanan. Lantasnya, Kerajaan komited untuk menambah baik pengangkutan awam termasuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti. Antara langkah yang diambil adalah:

Pertama:    Membina landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya ke Johor Bahru serta menaik taraf rel dan landasan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak 2.9 bilion ringgit;

Kedua: Menyediakan kemudahan park and ride di stesen LRT, stesen KTM komuter serta stesen ERL dengan peruntukan 62 juta ringgit;

Ketiga:    Memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat dengan peruntukan sebanyak 15.3 juta ringgit bagi membolehkan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap;

Keempat:    Membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan drop and ride dengan peruntukan 28 juta ringgit; dan

Kelima:    Membaik pulih tren Electric Multiple Unit (EMU) dengan peruntukan 28 juta ringgit bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.

Tuan Yang di-Pertua,

136.    Bagi mempastikan kemudahan jaringan antara kawasan bandar dan luar bandar, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 130 juta ringgit bagi subsidi pengangkutan udara luar bandar, terutama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Berpegang kepada prinsip bahawa benarlah kepentingan rakyat itu perlu sentiasa kita dahulukan.

Sebab itu, sekalipun tidak ekonomik dan tidak menguntungkan, demi rakyat di luar bandar, Kerajaan akan tetap meneruskan subsidi perkhidmatan keretapi di laluan Wilayah Timur, yakni di Pahang dan Kelantan. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 600 ribu pengguna dengan peruntukan 52.9 juta ringgit.

Meningkatkan Kesejahteraan Bandar

137.    Pada masa ini, terdapat pelbagai bentuk kumpulan komuniti setempat seperti persatuan penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta rukun tetangga yang lebih menjurus kepada pentadbiran, perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.

138.    Bagi meningkatkan koordinasi dan kesejahteraan komuniti khususnya di bandar, Kerajaan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk atau JPP dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT.

JPP akan bertindak sebagai satu entiti yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat bagi menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-isu perbandaran di
kawasan PBT. Untuk itu, Kerajaan akan menubuhkan 24 zon JPP di setiap PBT dengan peruntukan sebanyak 63 juta ringgit.

139.    Di perspektif yang lain, pada masa ini rizab bekalan air terawat di seluruh negara masih tidak mencapai sasaran 20 peratus dan terdedah kepada gangguan bekalan air, terutamanya semasa waktu puncak.

Oleh itu, bagi meningkatkan kadar liputan pembekalan air kepada 100 peratus terutama di kawasan bandar, Kerajaan akan membina dan menaiktaraf empangan serta loji rawatan air terawat dengan peruntukan sebanyak 1.2 bilion ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Pembangunan Luar Bandar

140.    Untuk memperkukuh dan menambahbaik infrastruktur asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar, sebanyak 4.1 bilion ringgit disediakan untuk pelbagai program pembangunan luar bandar untuk projek infrastruktur asas seperti berikut:

Pertama:    Sejumlah 980 juta ringgit diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf 437 kilometer jaringan jalan luar bandar di seluruh negara. Di samping itu, sebanyak 500 juta ringgit disediakan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo;

Kedua:    Sebanyak 457 juta ringgit disediakan bagi program bekalan air bersih dan terawat kepada lapan ribu unit rumah di luar bandar. Selain itu, sejumlah 75 juta ringgit diperuntukkan untuk membekal tangki air di Sarawak;

Ketiga:    Sebanyak 865 juta ringgit disediakan bagi program bekalan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 16 ribu rumah di seluruh negara. Manakala, bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik di Sabah, sebanyak 265 juta ringgit diperuntukkan. Ini bagi mengukuhkan sistem penjanaan dan penghantaran seperti menaiktaraf Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, pembinaan talian penghantaran elektrik Kimanis dan pembinaan stesen suis utama di Sandakan;

Keempat:Sejumlah 179 juta ringgit diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih sebanyak 20,000 unit rumah rakyat miskin di kawasan luar bandar;    

Kelima:    Bagi menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan pendapatan, sebanyak 20 juta ringgit disediakan untuk program Rural
Business Challenge yang merangkumi pengeluaran makanan, ternakan ikan, membaiki kenderaan dan agro pelancongan; dan

Keenam:    Sejumlah 109 juta ringgit disediakan bagi program pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup serta kemudahan infrastruktur bagi masyarakat Orang Asli.

Tuan Yang di-Pertua,

141.    Kerajaan juga akan meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir antaranya di Sungai Muda Kedah, Lembangan Sungai Muar Johor, Sungai Bunus Kuala Lumpur dan Bandar Pekan Pahang. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 659 juta ringgit. Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak 79 juta ringgit bagi kerja mengorek dan mendalam kuala-kuala sungai.

142.    Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan bumiputera Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran dalam proses pemilikan tanah adat. Sehubungan itu, Kerajaan akan memperuntukkan 50 juta ringgit bagi kerja pengukuran tanah dan pengesahan hak pemilikan tanah adat.

TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT

Tuan Yang di-Pertua,

Indeks Kesejahteraan Malaysia

143.    Ternyata, kemakmuran negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata, malah ianya perlu mengambil kira tahap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Sehubungan itu, Indeks Kesejahteraan Malaysia atau Malaysian Well-being Index atau MWI 2012 telah dibangunkan. Kerajaan akan terus merangka dasar serta strategi terbaik ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat. Meningkatkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam.

144.    Sejelasnya, Kerajaan amat menghargai jasa dan bakti anggota keselamatan dan para perajurit. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Kerajaan komited dalam membanteras jenayah dan ancaman anasir luar yang mengganggu gugat kesejahteraan negara.

145.    Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 8.8 bilion ringgit kepada Polis Diraja Malaysia dan 13.2 bilion ringgit kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota tentera.

146.    Bagi terus memperkasakan perkhidmatan PDRM, Kerajaan akan membina dan menaiktaraf Ibu Pejabat Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kuarters kakitangan dengan peruntukan sebanyak 128 juta ringgit. Ini termasuk pembinaan IPD baru di Pasir Mas, Kota Setar, Johor Bahru Selatan, Sipitang dan Nusajaya serta membina balai polis baru di Pengerang, Tongod dan Country Homes Rawang.

147.    Dalam membanteras jenayah, Kerajaan memperuntukkan 200 juta ringgit bagi melengkapkan PDRM dengan peralatan dan kelengkapan terkini termasuk senjata api, peluru, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup atau CCTV di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit.

148.    Selain itu, sebagai tambahan kepada pembelian 1,000 buah motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM pada tahun ini, Kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal lagi dengan peruntukan sebanyak 20 juta ringgit pada tahun ini. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan menambah lagi 200 buah motosikal yang menjadikan keseluruhannya 2,000 buah motosikal bagi tempoh dua tahun.

Tuan Yang di-Pertua,

149.    Pencerobohan bersenjata di Lahad Datu merupakan tragedi hitam buat negara. Pengorbanan serta jasa bakti para perajurit dan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan tanahair sangat disanjung tinggi. Kata orang nan dititik nan dieja, nan ditilik nan ditimang, sedikit pun kita tidak lupa, sepanjang hayat tetap dikenang. Apa yang penting, kita tidak sekali-kali merelakan walau seinci pun tanahair ini dirampas oleh sesiapa. Sabah tetap bersama Malaysia selama-lamanya.

150.    Bagi memastikan keselamatan perairan adalah terjamin daripada pencerobohan anasir luar khususnya di Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM pada awal tahun ini. Bagi memantapkan operasi ESSCOM, Kerajaan memperuntukkan 75 juta ringgit untuk tahun 2014.

151.    Selain itu, Kerajaan akan terus meningkatkan kawalan keselamatan negara dengan memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan negara. Ini termasuklah menambah enam buah offshore patrol vessel, empat buah pesawat kargo dan pembelian peralatan sokongan, kereta perisai, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak 2.4 bilion ringgit.

152.    Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia. Bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 48 juta ringgit bagi tujuan kebajikan 20,000 orang veteran ATM meliputi perubatan, ex-gratia dan pendidikan.

153.    Selain itu, sejumlah 202 juta ringgit pula akan diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih kuarters warga ATM. Kerajaan juga akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah kepada anak-anak anggota tentera bagi menggantikan penggunaan trak askar.

Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber

154.    Kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, sihat serta produktif bagi generasi masa kini dan masa hadapan. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk program Pelaporan Karbon Kebangsaan atau MyCarbon oleh sektor korporat, penubuhan Tabung Amanah Konservasi Nasional bagi memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.

155.    Bagi memperkukuhkan pembangunan teknologi hijau negara, Kerajaan akan memberi galakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas pembelian peralatan teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta sistem teknologi hijau.

156.    Ke arah menggalakkan amalan gaya hidup hijau, Yayasan Hijau Malaysia akan ditubuhkan yang akan berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan badan korporat, masyarakat dan awam terhadap teknologi hijau. Untuk itu, geran pelancaran sebanyak 15 juta ringgit akan disediakan sebagai dana permulaan untuk Yayasan Hijau Malaysia.

157.    Sebagai langkah segera untuk mengelak tragedi yang telah berlaku di Cameron Highlands kelmarin berulang kembali, maka, Kerajaan akan meluluskan peruntukan sebanyak 40 juta ringgit bagi melebar dan mendalamkan Sungai Bertam.

158.    Bagi terus meningkatkan kecekapan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, Kerajaan akan melaksanakan audit tenaga dan memasang retrofit di bangunan-bangunan kementerian. Bagi tahun 2014, Kementerian Kesihatan, Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Pertanian dan KPDNKK telah dikenalpasti untuk pelaksanaan inisiatif ini.

Selain itu, Kerajaan akan memasang solar panel di bumbung bangunan Kementerian-kementerian serta menggantikan lampu sedia ada kepada lampu LED secara berperingkat. Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti

159.    Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang terbaik serta berkualiti kepada rakyat. Untuk itu, sebanyak 22.1 bilion ringgit diperuntukan bagi sektor kesihatan yang merangkumi belanja operasi dan pembangunan.

Peruntukan ini akan disalurkan untuk program dan projek termasuk pembinaan Hospital Tanjung Karang dan blok tambahan Hospital Jeli serta menaik taraf Hospital Kuala Lipis dan 30 klinik desa.

160.    Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 66 juta ringgit untuk pembelian peralatan dan membina blok tambahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Kerajaan juga telah menyediakan 234 Klinik 1Malaysia dan sebagai tambahan sebanyak 50 klinik 1Malaysia akan dibangunkan pada tahun 2014.

Bagi menangani masalah kekurangan parkir di Hospital Kuala Lumpur, sebanyak 1,950 ruang letak kereta baru akan disiapkan pada 2014. Sementara itu, Hospital Rompin dan Shah
Alam serta Institut Kanser Negara akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan.

161.    Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan dan meringankan beban tugas jururawat yang bertugas berterusan secara dua syif, Kerajaan akan menambah seramai 6,800 jururawat dengan peruntukan 150 juta ringgit.

Selain itu, Kerajaan akan memperuntukkan 3.3 bilion ringgit bagi menyediakan bekalan ubat dan alatan perubatan mencukupi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sempurna, termasuk memperluaskan perkhidmatan kardiotorasik di Hospital Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuching.

162.    Kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu. Pesakit juga terpaksa membelanjakan sehingga 400 ringgit setiap kali mendapatkan rawatan.

Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, Kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis atau CAPD yang bernilai 19 ribu ringgit seunit. Ini membolehkan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir membuat rawatan sendiri di rumah. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan lebih seribu pesakit.

163.    Statistik juga menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes. Sekiranya tidak dikawal, pesakit akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong.

Sehubungan itu, Kerajaan mencadangkan untuk memansuhkan subsidi gula sebanyak 36 sen berkuatkuasa 26 Oktober 2013. Saya menyeru agar kita bersama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan manis dalam makanan dan minuman.

Tuan Yang di-Pertua,

Pembangunan Sukan Negara

164.    Pembangunan sukan memerlukan eko-sistem yang komprehensif meliputi infrastruktur, pengurusan dan kejurulatihan, pembentukan bakat dari peringkat awal serta kebajikan atlet. Untuk itu, sebanyak 239 juta ringgit diperuntukkan bagi meneruskan kecemerlangan sukan merangkumi menaiktaraf kompleks dan gelanggang sukan, mewujudkan program perintis pengenalpastian bakat di peringkat sekolah rendah dan melaksanakan program Future Professional Coach untuk menggilap kemahiran jurulatih berpotensi bagi sukan-sukan terpilih.

165.    Di samping itu, Kerajaan akan menyediakan 150 juta ringgit kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan bagi pembangunan sukan elit, rawatan perubatan dan penyelidikan. Seterusnya, Kerajaan akan membuat persiapan rapi bagi memastikan kejayaan atlet di sukan antarabangsa termasuk Sukan Asia 2014 Incheon, Sukan Olimpik Remaja 2014 Nanjing dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Meningkat Peranan Wanita dan Mensejahtera Keluarga

166.    Sesungguhnya peranan wanita sangat besar bukan sahaja dalam keluarga. Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan negara. Jasa mereka tetap dijulang tinggi. Malah, wanita adalah pemberi warna kepada generasi mendatang.

Lalu, bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak 2.2 bilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai program.

167.    Antara program yang akan dilaksanakan termasuk penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara. Akademi ini akan merangka program-program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita.

168.    Selain itu, Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat; program keusahawanan Purple DNA seperti 'Purple Licious' iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga Emas akan dilaksanakan.

169.    Kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku kanak-kanak di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM1.50 kepada tiga ringgit sehari bagi kanak-kanak yang bersekolah dan kenaikan daripada RM0.50 kepada satu ringgit sehari bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah.

Langkah ini dapat memanfaatkan 4,500 kanak-kanak di institusi JKM di seluruh negara. Di samping itu, kadar wang saku warga emas juga akan dinaikkan daripada 10 ringgit kepada 30 ringgit sebulan untuk menampung keperluan belanja harian penghuni JKM.

170.    Bagi meringankan kos yuran taska, Kerajaan akan menaikkan kelayakan pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada 3,000 ringgit kepada 5,000 ringgit untuk mendapat subsidi yuran taska sektor awam berjumlah 180 ringgit sebulan.

171.    Di samping itu, Kerajaan mencadangkan pemberian bantuan yuran taska sebanyak 250 ringgit sebulan kepada ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi 900 ringgit yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar dibawah JKM. Langkah ini dapat memanfaatkan seramai 3,334 kanak-kanak dibawah usia empat tahun dengan peruntukan 15 juta ringgit.

172.    Sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus dan pemeriksaan ujian mamogram yang sedia ada, Kerajaan mencadangkan pemberian percuma alat bantuan sokongan prosthesis luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara.

Bantuan ini dapat meringankan kos membeli alatan tersebut yang dianggarkan sekitar 1,200 ringgit. Langkah ini akan memanfaatkan lebih 8,000 orang pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah sembilan juta ringgit.

173.    Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kerajaan akan menambah empat buah bas khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta ujian glukosa dan kolestrol.

Pemerkasaan Bumiputera

174.    Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama semua, terutamanya kaum majoriti Bumiputera. Kerajaan komited untuk terus memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai agenda Nasional.

175.   Untuk itu, program yang akan dilaksanakan termasuk mempergiat program peningkatan kemahiran kepada belia, Program Peneraju Profesional serta meningkatkan bilangan pengambilan pelajar UiTM kepada 250 ribu menjelang 2020.

76.    Syukur Alhamdulillah, terkini jumlah pelajar UiTM sudahpun mencecah jumlah 180 ribu orang. Selain itu, pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.

177.    Untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi sebanyak 300 juta ringgit bagi menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

178.    Di samping itu, dana 200 juta ringgit disediakan oleh SME Bank bagi kemudahan pinjaman untuk program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat. Kemudahan ini akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup seiring dengan pembangunan pesat di kawasan persekitaran.

179.    Kerajaan terus meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulaan 30 juta ringgit.

180. Di samping itu, bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat anchor terutama syarikat berkaitan Kerajaan diberi potongan cukai dua kali.

181.    Seterusnya, bagi meningkatkan peluang perniagaan dan pembiayaan kepada entreprenur PKS, kemudahan pembiayaan pinjaman mudah turut disediakan. Antara kemudahan pembiayaan termasuk dana Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah 300 juta ringgit dan dana sebanyak 700 juta ringgit di bawah TEKUN.

Membantu golongan Orang Kelainan Upaya

182.    Kita sedar bahawa setiap insan itu istimewa. Setiap seorang daripada kita adalah sempurna di sisi Tuhan. Dalam perkara ini, sumbangan mereka amat dihargai dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Banyak kemudahan diperuntukkan bagi kesejahteraan mereka dan seterusnya memaksimumkan potensi yang ada. Untuk itu, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 441 juta ringgit bagi pembangunan dan kebajikan golongan ini.

Menghargai Golongan Karyawan

183.    Golongan karyawan, seniman dan budayawan merupakan komponen sesebuah peradaban itu dibina. Peranan mereka amatlah penting dalam perkembangan seni dan budaya dalam masyarakat. Sebagai menghargai sumbangan golongan ini, Kerajaan bersetuju untuk meneruskan bantuan kewangan sebanyak enam juta ringgit bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian persatuan-persatuan yang berdaftar.

Pembangunan Masyarakat India

184.    Bijak bestari berkata, orang berbudi kita berbahasa. Kepada kaum India yang telah bersama menzahirkan ikatan sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional baru-baru ini. Terima kasih, Rumba Nandri.

185.    Kerajaan juga akan terus menumpukan kepada pembangunan masyarakat India agar dapat bersama dalam arus kemajuan negara. Untuk itu, Kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak 100 juta ringgit untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran, ini termasuk 28 juta ringgit bagi program pendidikan awal melibatkan 176 pra-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan program i-Sinar.

186.    Program ini akan meningkatkan prestasi pelajar melalui kaunseling, motivasi dan tuisyen kepada 45 sekolah ladang Tamil. Di samping itu, dana sebanyak 50 juta ringgit disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India atau SPUMI di bawah TEKUN, manakala usahawan India juga boleh memohon pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

Meningkatkan Pemilikan Rumah

187.    Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai rungutan sering diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi, bekalan rumah tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.

188.    Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah menjejaskan kemampuan masyarakat untuk membeli rumah. Di samping itu, aktiviti spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah. Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah dalam jangka masa panjang.

189.    Bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:

Pertama:    Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah atau RPGT. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30 peratus, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20 peratus dan 15 peratus.

Bagi warganegara, pelupusan yang dibuat dalam tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT manakala bagi syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara pula, RPGT dikenakan pada kadar 30 peratus bagi tempoh pegangan sehingga lima tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan lima peratus;

Kedua:    Meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada 500 ribu ringgit kepada satu juta ringgit;

Ketiga:    Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah, di mana  pemaju hartanah perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti setem perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma; dan

Keempat:    Melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer Interest Bearing Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah. Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek yang terlibat dengan skim DIBS ini.

190.    Seterusnya, bagi meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang berpatutan, dianggarkan sebanyak 223 ribu unit rumah baharu akan dibina oleh Kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014.

Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 578 juta ringgit kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473 unit rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan 146 juta ringgit.

191.    PR1MA pula akan menyediakan 80 ribu unit rumah dengan peruntukan satu bilion ringgit di mana harga jualannya adalah 20 peratus lebih rendah dari harga pasaran. Manakala SPNB akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit rumah mampu milik, tiga ribu unit Rumah Idaman Rakyat dan lapan ribu Rumah Mesra Rakyat.

Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah Mesra Rakyat dengan harga jualan antara 45 ribu ringgit hingga 65 ribu ringgit, di mana Kerajaan akan memberi subsidi di antara 15 ribu ringgit hingga 20 ribu ringgit seunit.

192.    Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome sebagai satu langkah untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Skim ini menawarkan subsidi 30 ribu ringgit seunit kepada pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah:

Pertama:     Membina sekurang-kurangnya 20 peratus rumah kos rendah dan 20 peratus rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan;

Kedua:    Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah 45 ribu ringgit dan kos sederhana ialah 170 ribu ringgit;

Ketiga:    Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur dan dua bilik air;

Keempat:    Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman permainan; dan

Kelima:    Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah maksimum tiga ribu ringgit bagi kos rendah dan maksimum enam ribu ringgit bagi kos sederhana.

193.    Keutamaan akan diberikan kepada pemaju perumahan yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini terhad kepada 10 ribu unit rumah pada tahun 2014.

Ianya adalah untuk projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak 300 juta ringgit di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar,
Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

194.    Pada masa ini, pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10 peratus daripada kos projek. Bagi tahun 2014, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah empat bilion ringgit untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik.

195.    Daripada jumlah tersebut, saya mencadangkan satu bilion ringgit dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan dibawah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS. Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan oleh Kerajaan.

196.    Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik Kerajaan. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang permainan.

197.    Untuk itu, sejumlah 100 juta ringgit akan disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan juga akan memperuntukkan 82 juta ringgit bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah.

198.    Bagi terus mengukuhkan pasaran hartanah dan menambah peluang rakyat memiliki rumah, Kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang lebih efektif dan menyeluruh. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisma harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.

Program Penyeragaman Harga

199.    Kerajaan juga sedar akan harga barangan keperluan yang lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Untuk mempastikan harga barangan dan kos dapat dikurangkan, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 331 juta ringgit bagi meneruskan program penyeragaman harga dan pemberian subsidi termasuk kos pengangkutan.

200.    Di samping itu, sebanyak 60 buah Kedai Rakyat 1Malaysia turut akan dibuka dengan peruntukan 30 juta ringgit.

Pelepasan Cukai Untuk Golongan Berpendapatan Sederhana

201.     Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana yang merupakan bilangan pembayar cukai pendapatan terbesar. Mereka juga turut terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagi terus membantu golongan ini, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khas dua ribu ringgit ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2013 bagi yang berpendapatan sehingga lapan ribu ringgit sebulan.

202.    Langkah ini akan memberi penjimatan bayaran cukai sehingga 480 ringgit. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, kumpulan ini telah menikmati penjimatan cukai sehingga 475 ringgit ke atas pendapatan tahun 2013 semasa Kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai dalam bajet yang lalu.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

203.    Kita amat bersyukur, setelah negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos 1957, rakyat telah hidup dalam kerukunan, harmoni dan sejahtera membangunkan negara.

204.    Pada 16 haribulan September 1963 pula, termaktub peristiwa bersejarah penggabungan Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Terbukti jelas, kebersamaan dan kebersatuan ini telah membawa berjuta rahmat kepada Malaysia.

205.    Ternyata, selama lebih 5 dekad Kerajaan Barisan Nasional telah menggalas amanah rakyat melalui kebitaraan perkongsian kuasa dan amalan bersepakat antara parti komponen.

206.    Hakikatnya, sejak dulu lagi, Kerajaan Barisan Nasional tidak semberono dan tidak pernah suka-suka dalam hal perencanaan negara. Bahkan kita amat komited dan sememangnya kita amat serius.

207.    Segalanya kita rangka, semuanya kita susun, kita piagam dan kita laksanakan bukan sekadar sonata, atau sebuah orkestra, namun ia menjadi  puluhan simfoni kemajuan yang terindah demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi.

Tuan Yang di-Pertua,

208.    Kepada para penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Kerajaan amat menghargai sumbangan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Maka yang demikian, pada Julai lalu, Kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan atau KGT melibatkan peruntukan sebanyak 1.6 bilion ringgit.

209.    Di samping itu, Kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum.

Lantaran pada petang ini, sukacita saya mengumumkan pula, bahawa Kerajaan juga bersetuju menambahbaik sebanyak 81 skim perkhidmatan dari pelbagai peringkat mulai bulan November ini.

Tuan Yang di-Pertua,

Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)

210.    Selanjutnya, dalam usaha untuk terus meringankan beban hidup rakyat, bersesuaian dengan pelaksanaan subsidi bersasar, sukacita saya mengumumkan bahawa program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 3.0 kepada isi rumah dan individu bujang akan ditambah baik.

211.    Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan tiga ribu ringgit dan ke bawah, akan ditingkatkan nilai bantuannya, daripada 500 ringgit kepada 650 ringgit.

212.    Seterusnya, bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi dua ribu ringgit sebulan, nilai BR1M akan dinaikkan daripada 250 ringgit kepada 300 ringgit.

213.    Sebagai pelengkap, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sukacita saya mencadangkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai 50 ringgit diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M. Langkah ini diharapkan dapat memberi perlindungan maksimum sehingga 30 ribu ringgit kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.

214.    Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi tiga ribu ringgit, akan menikmati bantuan sebanyak 700 ringgit.

215.    Sebagai tambahan, buat pertama kalinya juga, BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara tiga ribu hingga empat ribu ringgit dengan nilai bantuan sebanyak 450 ringgit. Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.

216.    Golongan ini juga akan menikmati caruman i-BR1M bernilai 50 ringgit yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak 500 ringgit. Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 3.0 di atas, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 4.6 bilion ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 7.9 juta penerima.

Tuan Yang di-Pertua,

Menghargai Penjawat Awam

217.    Pada bulan Ogos lalu, sebelum menjelangnya hari Lebaran Aidil Fitri, bayaran bantuan khas kewangan sebanyak 500 ringgit dan 250 ringgit, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.

218.    Hari ini pula, sukacita saya mengumumkan, untuk meringankan lagi beban golongan pesara, Kerajaan akan memberi bayaran khas kewangan sebanyak 250 ringgit.

219.    Kepada para penjawat awam janganlah bimbang, apa yang ditunggu sudah pun tiba. Saya dengan ini mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji  bagi tahun 2013, dengan bayaran minimum 500 ringgit. Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal bulan Januari 2014.

Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat,

220.    Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca pilihanraya sebagai antara prakarsa penting memenuhi akujanji yang kita ikrarkan semasa pilihanraya baru-baru ini. Usaha kita tidak terhenti setakat ini. Bahkan inilah kesinambungan kepada sebuah perjalanan Barisan Nasional agar terus berkobar dan bersemangat dengan api perjuangan yang marak lagi menyala, menerajui negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.

Tuan Yang di-Pertua,

221.    Tapi biasalah, bak kata orang Pekan, “maaf bercakap, nak buat macam mane, sabor jerlah”. Apa pun kebaikan yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang kita lakukan, ada saja yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata kawan-kawan di seberang sana.

222.    Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua.

223.    Sedangkan, orang jauh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry yang datang baru-baru ini pun telah mengiktiraf kita sebagai negara model kepada dunia, dalam kepelbagaian kemajuan, ekonomi dan manusia.

Hatta Presiden China, Xi Jinping juga telah memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Kita juga rasa tersentuh pabila Presiden China turut mengungkapkan pengertian peribahasa Melayu, ‘air dicincang takkan putus’, bahawa, Malaysialah sahabat negara China yang sejati, ketika susah dan senang.

Tuan Yang di-Pertua,

224.    Satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun, kita bukanlah barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk bersimpuh dan berdiam diri. Barisan Nasional mengambil resminya padi, makin merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari masa hingga masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat, demi negara.

225.    Dalam pada itu, diakui adat dan resam manusiawi, selama berpuluh tahun, Kerajaan Barisan Nasional mentadbir, tentulah ada salah dan khilaf di sana-sini. Namun, mendahulukan kepentingan rakyat adalah segala-galanya buat kita. Dengan adanya sokongan dan dokongan rakyat pabila dirundingi, ternyata kelemahan-kelemahan terus kita perbaiki dan usaha dapat dimantapkan.

226.    Sekaligus, segala penat lelah, letih lesu yang digemblengkan terasa hilang dan terasa lega, tatkala rakyat teramai dapat mengecapi nikmat kejayaan negara. Bak kata orang Iban di Sarawak, “Utai Besai Gaga’miet”, jika kita bersatu, berganding-ganding antara Kerajaan dan rakyat, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.

227.    Apa yang pasti, kita tidak sekali-kali akan membiar dan merelakan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih Kerajaan ini. Demi rakyat dan demi tanahair tercinta, Putrajaya, tetap akan kita pertahankan sampai bila-bila.

Tuan Yang di-Pertua,

228.    Jelasnya, bajet ini ialah dokumen berevolusi yang dipersembahkan untuk tahun 2014, merupakan siri-siri bajet yang akan membawa Malaysia bertatih, menapak dan akhirnya kini berlari-lari anak, melayari bahtera ke mercu jaya dan kompetitif di persada antarabangsa. Insya Allah, kita akan membentangkan enam lagi bajet, sebelum negara ini dijulang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, pabila menyinsingnya fajar 2020, kira-kira tujuh tahun lagi.

Tuan Yang di-Pertua,

229.    Demi kepentingan rakyat, moga-moga bajet kali ini juga, menjadi bajet yang disirami dan dilimpahi barakah yang tidak terhitung-hitung jumlahnya.

230.    Akhir kalam, dalam segala kudrat manusia, kita telah berusaha sehabis baik. Kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan segala urusan.

Moga-moga Tuhan Yang Maha Berkuasa memberi selamat dan sejahtera kepada Malaysia, zahir dan batin.

Sumber asal dari UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment